skip to main |
skip to sidebar
Entah kenapa, di hari lahir kali ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata-kata yang pernah diucapkan oleh Saiyidina Ali:
"Manusia semua tidur, apabila mati baru mereka terjaga".
Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih ada. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu. Teringat pula kata Imam al-Ghazali:
"Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekkan."
Ya, esok ulang tahun kelahiranku.sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langitMu ya Allah.Belum pernah aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih pura-pura.Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti.Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi....semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi.....selamat pulakah hari matiku?
Siapalah aku...Aku belum bersedia untuk bertemu dengan-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah...segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayau pada -Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan_mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika idak mengenangkan Engkau maha pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?
Ya Allah, hari ini, kupinta leraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gelojak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua,tiga dan.... Ya Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu daya ini.
Tak mampu menangis....Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau takwanya melimpah. Bukan juga Umar al-Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiatul Adawiyah yang sentiasa berkata:
"Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi."
Aku juga tidak menangis kerana dosa.....Hatiku amat keras. Ku cuba menangis dengan rasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi hati' lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati, ya Allah. Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini, aku akan 'dilahirkan' semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni....
Hidup menanti mati..... Buat sahabat, teman dan kenalan...terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku keran gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku gelap gelita) Pesan ku:
" Marilah kita hidup....
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula,
walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma.....itu lebih bermakna!''
Permulaan yang Baik????
Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu ditempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, aku teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
"In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning...
Mudah-mudah. Ini permulaan yang terbaik!......., Amin yang Allah!
Dipetik dari Majalah Anis ; PAHROL MOHAMAD JUOI
No comments:
Post a Comment